MAIN MENU
Management Team
Hibiscus E-Store
Operation
Storage
News
Customer Network
Corporation
Event
Event Calender
Currency Converter
Transportation
Home arrow News arrow Metro arrow Komita Bantu IKS
 
Komita Bantu IKS PDF Print E-mail
Friday, 11 May 2007

PENUBUHAN Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani (Komita) awal tahun ini memberi lembaran baru kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memperluaskan pasaran dan menambah jaringan perniagaan di luar negara.

Ia bertindak sebagai penggerak bagi mempercepatkan proses usahawan Bumiputera meneroka pasaran luar khususnya Ireland, United Kingdom (UK) dan Eropah. Ketika ini, 13 syarikat sudah menjadi ahli Komita sejak ditubuhkan.

Kelahirannya bukan untuk bersaing atau platform kepentingan individu tetapi wujud daripada kesepakatan semua pihak untuk bergabung di bawah satu payung, selaras pegangan Komita memasarkan produk ke luar negara sebagai satu pasukan berbanding individu.

Ikuti temubual wartawan Bisnes Metro (BM), HAYATI IBRAHIM dengan Pengerusi Eksekutif Komita, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad ketika ditemui baru-baru ini.

BM: Boleh saudara terangkan, apakah objektif utama penubuhan Komita?

SHEIKH DUSUKI: Antara objektif Komita adalah mewujudkan jaringan usahawan yang berkaliber dan menggabungkan kepakaran, idea, inovasi dan daya usaha yang tinggi serta kreatif. Ahli juga berpeluang melakukan padanan perniagaan sesama sendiri untuk meningkatkan sinergi perniagaan masing-masing.

Komita juga membantu melatih usahawan untuk ke peringkat global termasuk memberi khidmat nasihat, sokongan dan dorongan.

Lebih menarik, kami memantapkan mereka dengan maklumat terkini dalam perniagaan dari aspek pelabelan, perundangan dan pembungkusan yang dikehendaki sesebuah negara di samping memberi pendedahan mengenai bantuan disediakan kerajaan.

BM: Apakah matlamat Komita?

SHEIKH DUSUKI: Kami bertindak sebagai ejen kepada usahawan IKS menjalankan tinjauan pasaran dan sumber maklumat bagi membantu serta memberikan maklumat kepada mereka sebelum meneroka pasaran global.

Malah kami juga bercita-cita untuk membentuk mereka supaya mampu berdikari bagi membangunkan perniagaan masing-masing ke peringkat lebih tinggi di samping membantu melahirkan usahawan IKS yang berdaya saing serta maju dan mampu menghadapi cabaran semasa.

BM: Bagaimana dengan peranan Komita dalam membantu usahawan terus berdaya saing sama ada di dalam dan luar negara?

SHEIKH DUSUKI: Komita berfungsi sebagai ejen pemasaran bagi produk keluaran ahli dengan penumpuan difokuskan kepada pasaran Eropah dengan melakukan promosi, pengiklanan dan padanan perniagaan dengan pihak terbabit.

Kami juga mewujudkan konsep ‘mento menti’ bagi membolehkan ahli Komita yang berjaya bertindak sebagai mentor membimbing usahawan kecil lain di bawah program Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dan agensi lain.

Mereka akan diberikan bimbingan dan tunjuk ajar bermula daripada proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) hingga kepada teknik pemasaran berkesan. Melaluinya, kami berharap untuk melahirkan 18 mentor dan 54 menti dalam tempoh dua tahun akan datang.

BM: Apakah perancangan Komita pada masa depan?

SHEIKH DUSUKI: Kami merancang pelbagai aktiviti untuk memastikan usahawan mendapat manfaat ahli Komita. Satu daripadanya mengadakan promosi melalui siri jelajah dalam negara.

Satu daripada sesi penjelajahan adalah melalui penyertaan dalam karnival Jom Heboh anjuran TV3 kerana media elektronik adalah saluran paling berpengaruh memberi publisiti dan mempromosi produk dengan berkesan.

Malah, kami bekerjasama dengan chef masakan berkaliber membuat demonstrasi masakan menggunakan produk IKS, melalui cara itu pengguna dapat melihat sendiri menu atau variasi yang dapat dihasilkan daripada produk berkenaan.

Kami berhasrat membuka penyertaan kepada syarikat yang berminat dan berpotensi untuk pergi jauh dalam dunia perniagaan dan percaya mereka mampu memajukan ekonomi dan membawa pulangan besar kepada semua pihak.

Di samping itu, kami akan menggunakan ruang niaga yang disediakan kerajaan untuk memasar dan mempromosi produk ahli Komita, secara tidak langsung memberi ruang kepada ahli memperluaskan perniagaan mereka.

BM: Apakah aktiviti yang sudah dilaksanakan Komita untuk membantu usahawan memperluaskan pasaran produk masing-masing?

SHEIKH DUSUKI: Kami melakukan padanan perniagaan bersama usahawan dari United Kingdom untuk bekerjasama memasarkan produk masing-masing dan membantu mereka mendapatkan bekalan bahan mentah seperti sayuran dan buah dari Malaysia.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk menerangkan kelebihan dan faedah menggunakan produk tempatan yang bukan saja menawarkan kaedah pembungkusan yang menarik dan pembuatan mengikut aspek kebersihan.

Kami turut bekerjasama dengan Kelab Usahawan Melayu UK menyatupadukan golongan usahawan dan bakal usahawan Melayu di luar negara.

Last Updated ( Thursday, 24 May 2007 )
 
 

 
© ManMa Trading Sdn Bhd