MAIN MENU
Management Team
Hibiscus E-Store
Operation
Storage
News
Customer Network
Corporation
Event
Event Calender
Currency Converter
Transportation
Home arrow News arrow Utusan Malaysia arrow Anak Melayu Buka Pasaraya Di Ireland
 
Anak Melayu Buka Pasaraya Di Ireland PDF Print E-mail
Friday, 11 May 2007

 Image

SEBUAH pasar raya, Hibiscus Asian Store Ltd. nun jauh di Balgaddy Road Lucan, Dublin, Republik of Ireland milik anak Malaysia merupakan pencapaian tertinggi bagi Kamarulzaman Abdul Manan atau Kamar 38, sejak bergelar perantau lebih kurang 10 tahun yang lalu.

Walaupun hanya akan beroperasi pada penghujung tahun 2007, namun pencapaian itu cukup membuktikan Kamarulzaman bermula dengan langkah kanan.

Bertemu dengannya baru-baru ini ketika kembali ke Malaysia atas urusan perniagaan dan juga menjenguk kaum keluarga di Perak dan Trengganu, beliau sempat berkongsi cerita menempa kejayaan di rantau orang.

Kamar memberitahu, tujuan awalnya ke Ireland untuk menyambung pelajaran peringkat ijazah dalam bidang perniagaan di Universiti Liverpool John Moores, United Kingdom (UK).

Sebelum itu beliau bekerja di bahagian pentadbiran dan pembantu warden sambil belajar di Kolej Premier, Yayasan Perak di Ipoh, Perak.

“Lebih kurang 10 tahun yang lalu, tujuan asal ke sana untuk melanjutkan pelajaran dan apabila tamat tiga tahun kemudian saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat yang membuat perniagaan halal, piza papperoni selama setahun setengah,’’ ceritanya.

Kebetulan isterinya, Dr. Norma Mohamad 32, yang berasal dari Trengganu sudah menetap di sana sejak tahun 1994 kerana melanjutkan pelajaran dan bekerja di beberapa buah hospital dan terkini di Naas General Hospital,Ireland.

“Selama tinggal di sana saya perhatikan ramai masyarakat Asia termasuk dari Pakistan, India dan Bangladesh termasuk lebih kurang 20,000 rakyat Malaysia.

“Kebanyakannya terdiri daripada para pelajar perubatan dan perakaunan serta individu yang tinggal di sana kerana bekerja,’’ katanya yang berasal dari Lumut, Perak.

Melihat peluang perniagaan yang cerah dan boleh diterokai dengan baik, Kamar berjinak-jinak menjadi pengedar produk barangan Malaysia ke sana.

“Membuktikan saya serius dalam bidang perniagaan, saya tubuhkan syarikat ManMa atas gabungan nama saya dan isteri.

“Saya kembali ke Malaysia dan mencari produk halal yang dibekalkan oleh usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS),’’ katanya.

Sambutan terhadap produk yang dibawa masuk telah mendorong Kamar menjalin kerjasama dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Usahawan dan Koperasi (Medc) apabila beliau dilantik sebagai agen pemasaran.

“Perjanjian baru ditandatangani pada bulan Julai lepas yang memberi peluang lebih banyak produk daripada industri IKS menembusi pasaran luar negara.

“Lantikan itu juga membuka peluang kepada saya mengembangkan perniagaan dan buat masa sekarang saya menjalin usahawan dengan sebuah konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita).

Menurut Kamar dibawah Komita terdapat 20 buah syarikat pengusaha makanan dan minuman yang diusahakan oleh usahawan IKS yang mengeluarkan produk bermutu tinggi seperti kuih tradisional, sos, kicap, minuman buah-buahan dan banyak lagi.

“Antara syarikat yang menganggotai Komita termasuk Muslim Best, Produk ITA, Fauziah Karim Asam Pedas, Noraini Cookies dan Brahim.

Apa yang menarik, atas usaha usahawan muda ini, produk tempatan telah memasarkan kicap kipas udang, sos Aminah Hassan, barangan Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), seperti sos pedas dan kuah kacang.

“Sejak setahun yang lalu produk tersebut telah pun berada di 25 pasar raya di Ireland dan di 20 pasar raya seluruh United Kingdom,’’ katanya.

Katanya, bukan sahaja masyarakat tempatan yang mencari produk halal Malaysia, tetapi pengguna Asia seperti Filipina, Thailand, Pakistan dan Arab juga menggemarinya.

Teruja dengan sambutan itulah yang mendorong Kamat melabur dalam sebuah pasar raya yang menawarkan produk dingin beku, buah-buahan, sayur-sayuran selain produk IKS Malaysia pada tahun hadapan.

Menyasarkan perniagaan lebih berdaya maju pada masa akan datang, melalui kerjasama Mara dan Medc, beliau turut terlibat dalam Minggu Promosi Malaysia yang bakal diadakan pada April 2006 di Ireland.

Meskipun tinggal berjauhan dengan ahli keluarga di tanah air, ayah kepada dua cahaya mata ini, Mohd Faisal 5, dan Nor Solehah 3, pulang ke Malaysia setiap tiga bulan sekali.

Kamar yang menyifatkan peluang yang diberikan oleh pihak kerjaan kepada usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan terbuka luas dan terpulang kepada individu untuk merebutnya.

“Saya amat berterima kepada Mara dan Kementerian Usahawan dan Koperasi kerana memberi jalan dan peluang ini serta rakan-rakan perniagaan tempatan yang sentiasa bersedia memberi kerjasama.

“Jika hubungan yang baik ini berkekalan, saya percaya lebih ramai usahawan akan muncul untuk sama-sama memacu kejayaan dalam bidang perniagaan walau di mana sekali pun bumi dipijak,’’ katanya bersemangat.

 

Last Updated ( Thursday, 24 May 2007 )
 
 

 
© ManMa Trading Sdn Bhd